SUKIMI GROUP Di Persada Antarabangsa


 

KOTA BAHARU, 26 April (Bernama) — Sukimi Lube (M) Sdn Berhad (Sukimi), pengeluar minyak pelincir bumiputera akan melangkah ke pasaran antarabangsa pertengahan tahun ini dalam usaha memperluaskan perniagaan di samping meningkatkan pengeluaran minyak tempatan.

Pengarah Urusan yang juga Presiden Sukimi Group, Datuk Seri Ahmad Sukimi Ibrahim berkata usaha itu diambil bagi memenuhi permintaan antarabangsa khususnya Asia Barat terhadap produk-produk Malaysia termasuk minyak pelincir yang dianggap bermutu tinggi.

“Kita mendapat permintaan yang menggalakkan untuk kegunaan kapal-kapal dagang dan kapal tangki yang singgah di negara itu,” katanya kepada pemberita pada persidangan media di pejabatnya di sini, hari ini.

Tanpa menyebut jumlah yang disasarkan, Ahmad Sukimi berkata Sukimi Lube kini mengeluarkan kira-kira 200,000 liter minyak pelincir sebulan untuk pasaran tempatan dan jumlah itu bertambah dari masa ke masa.

Beliau berkata dari jumlah itu sebahagiannya dibekalkan kepada agensi-agensi kerajaan persekutusan bagi kegunaan kenderaan di agensi terbabit termasuk Pasukan Gerakan Marin (PGM) untuk kegunaan bot laju.

“Kita mensasarkan sehingga akhir tahun ini sebanyak 10 peratus daripada keperluan kerajaan pusat disalurkan oleh Sukimi Lube,” katanya.

Mengenai jenis produk yang dikeluarkan syarikat, beliau berkata kini terdapat 20 jenis minyak pelincir dan gris keluaran syarikat itu berbanding dengan lima jenis pada awal penubuhannya pada 2007.

Beliau berkata pihaknya juga membekalkan kepada lebih 1,000 buah bengkel di seluruh negara sebagai minyak rasmi bagi kegunaan kenderaan yang dibaik pulih di samping beratus-ratus pengedar.

“Sukimi juga mendapat kerjasama dengan Naza Motor, yang menggunakannya pada motosikal baru keluarannya,” katanya.

Ahmad Sukimi berkata pihaknya juga sedang membuat kajian bagi mengeluarkan lebih banyak minyak pelincir bermutu tinggi di samping meningkatkan mutu pengeluaran produk keluarannya.

“Kita percaya dengan perkembangan terkini ini akan membolehkan Sukimi disenaraikan di pasaran saham dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam segi harga, beliau berkata berbanding dengan jenama-jenama lain ia lebih murah atau sekurang-kurang 10 peratus lebih rendah dari jenama lain.

SUMBER - BERNAMA

Leave a Reply

*
To prove you're a person (not a spam script), type the security word shown in the picture.
Anti-Spam Image